PROGRAM DERMASISWA KHUSUS UNTUK 1,000 PELAJAR

 

KUALA LUMPUR, Malaysia – Program dermasiswa Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) B40 akan memberi manfaat kepada 1,000 pelajar daripada keluarga B40 yang mengikuti TVET di peringkat diploma dan ijazah. Ia merujuk kepada tahap pendidikan di IPT seperti universiti awam (UA), politeknik, dan kolej komuniti.

Datuk Seri Dr Noraini Ahmad, Menteri Pengajian Tinggi, menyatakan program itu disediakan kepada pelajar yang layak dan ditawarkan tempat belajar melalui Sistem Permohonan Kemasukan Pelajar.

Beliau menyatakan ia boleh diakses melalui laman web rasmi kemasukan pelajar, upu.mohe.gov.my, atau sistem permohonan kemasukan pelajar di IPT masing-masing.

“Antara syarat khas yang dikenakan ialah pelajar memperoleh Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bagi pengajian peringkat diploma tahun semasa dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) atau setaraf bagi pengajian peringkat sarjana muda pada tahun semasa.

“Tempoh tajaan bagi pelajar peringkat diploma adalah tiga tahun, dan empat tahun bagi pelajar ijazah sarjana muda,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, mengumumkan pelaksanaan program Biasiswa TVET B40 sempena perasmian Minggu TVET Kebangsaan 2022 baru-baru ini.

Dr Noraini Ahmad menyatakan pihaknya berterima kasih kepada Perdana Menteri kerana sentiasa prihatin terhadap keperluan pelajar dalam hal ini.

Author : Sabpensab

Date : 11/8/2022