Tindakan Sewajarnya Jika Tersalah Lapor Cukai

Masalah tersalah lapor boleh dielakkan jika pembayar cukai meneliti maklumat yang telah diisi serta menyemak resit-resit yang berkaitan sebelum menghantar borang BE. Borang BE adalah borang istihar pendapatan untuk individu yang tidak menjalankan perniagaan. Pendapatan Ini adalah dari hasil gaji yang diterima setiap bulan sahaja.

image

Musim pengisytiharan pendapatan penggajian bagi tahun taksiran 2021 kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) telah melabuhkan tirainya pada 30 April 2022 (borang manual) dan 15 Mei 2022 (e-Filing). Bagi individu, bulan ini dinantikan kerana kemungkinan mereka akan menerima bayaran balik cukai (tax refund) sekiranya cukai yang kena bayar lebih rendah daripada amaun potongan cukai bulanan. Di samping itu, ada dalam kalangan pembayar cukai yang suka melapor cukai di saat-saat akhir yang mendorong kepada kesilapan-kesilapan kecil dalam pelaporan cukai mereka. Oleh sebab itu, tindakan pindaan taksiran perlu dilakukan. Dalam artikel ini,kami akan kongsikan Tindakan sewajarnya untuk memastikan pengisytiharan cukai adalah tepat dan betul berdasarkan undang-undang percukaian

1)Pindaan terhadap taksiran yang dilaporkan kepada LHDN masih boleh dibuat

Terdapat tiga kaedah yang boleh dilakukan oleh pembayar cukai. Antaranya:

i) Manual – menurut akta Cukai Pendapatan 1967 (ACP 1967) (tiada penalti dikenakan bagi tambahan cukai) jika pembayar cukai hadir ke cawangan LHDN sebelum tempoh yang ditetapkan. Mereka perlu membawa bersama surat rayuan/borang/e-Filing/borang kertas yang telah dihantar, dokumen dan resit yang berkaitan dengan pindaan taksiran berkenaan. LHDN adalah yang mengendalikan fail cukai pembayar cukai. Oleh itu, Semua dokumen ini akan diserahkan kepada mereka.

ii) Borang e-BE Tahun Taksiran 2021 (individu pemastautin yang tidak menjalankan perniagaan) yang dikemukakan melalui e-Filing dalam tempoh iaitu antara 1 Mac 2022 hingga 15 Mei 2022 boleh menghantar permohonan pindaan secara dalam talian. e-Permohonan Pindaan BE hanya terpakai bagi kes pembayar cukai yang terlebih melaporkan pendapatan dan yang terkurang menuntut pelepasan/rebat cukai. Jika borang BE asal dikemukakan menggunakan Borang Manual, kaedah ini tidak terpakai.

iii) Borang Nyata Terpinda (BNT) tahun taksiran 2021 turut disediakan di laman sesawang rasmi LHDN pada 1 Mei 2022 bagi pembayar cukai yang ingin membuat pindaan sendiri atas maklumat atau taksiran bagi membetulkan kesilapan dalam borang Nyata berhubung Pendapatan terkurang/tidak lapor, perbelanjaan lain terlebih tuntut atau pelepasan yang terlebih tuntut.

Ringkasnya BNT perlu digunakan bagi pindaan pengisytiharan cukai yang akan meningkatkan amaun taksiran atau jumlah cukai kena dibayar. BNT perlu dikemukakan dalam tempoh 6 bulan dari tarikh yang ditetapkan bagi pengemukaan Borang Nyata (BN) asal termasuk yang dihantar secara e-Filing di dalam tempoh yang ditetapkan. BNT boleh dikemukakan ke cawangan LHDN yang mengendalikan fail cukai pendapatan pembayar cukai sama ada secara serahan tangan atau melalui pos.

Pindaan maklumat asas seperti nombor telefon,e-mel,alamat surat menyurat,kediaman dan premis perniagaan serta nama dan akaun bank boleh dibuat melalui e-Kemaskini di pautan https://mytax.hasil.gov.my/. Sebagai contoh jika pembayar cukai tersilap mengisi nombor akaun bank pada borang nyata cukai yang asal.

2)Situasi-situasi silap lapor dan kaedah pindaan yang perlu diguna

Situasi 1: Tidak sengaja terlebih lapor pendapatan atau terkurang tuntut pelepasan dalam Borang BE asal yang dikemukakan dalam tempoh yang ditetapkan.

Contoh: A telah melaporkan pendapatan penggajian sebanyak RM300,000 dalam e-BE Tahun Taksiran 2021 pada 1 Mac 2022. A menyedari kesilapan tersebut dan pendapatan yang betul adalah RM30,000.

Kaedah pindaan: Pindaan secara dalam talian iaitu melalui e-Permohonan pindaan BE yang boleh digunakan pada 1 April 2022 di https://mytax.hasil.gov.my.

Jika bukan e-BE, rayuan secara manual boleh dibuat di cawangan LHDN berdekatan.

Situasi 2:Tidak sengaja terkurang lapor pendapatan atau terlebih tuntut pendapatan.

Contoh: A telah menuntut pelepasan anak di bawah 18 tahun seramai tiga orang dalam e-BE TT2021. Isteri A juga menuntut bilangan anak yang sama. Setelah berbincang, A dan isteri bersetuju dua orang anak dituntut oleh isteri. Dan A boleh menuntut bilangan seorang anak sahaja.

Kaedah pindaan yang boleh dibuat:

a) Pembayar cukai perlu membawa dokumen yang berkaitan dan surat rayuan ke cawangan LHDN yang mengendalikan fail.

b) Pembayar cukai yang telah mengemukakan BN asal dalam tempoh yang ditetapkan boleh mengemukakan BNT dalam tempoh 6 bulan daripada tarikh pengakhiran pengemukaan BN asal.

c) Pembayar cukai perlu kemukakan BNT secara serahan tangan atau pos ke cawangan yang mengendalikan fail pembayar cukai.

3)Jenis-jenis kesilapan yang biasa diterima oleh LHDN

  • Kegagalan melaporkan pendapatan yang betul
  • Tertinggal semasa menuntut amaun pelepasan seperti insurans nyawa,derma,caruman tabung SSPN atau pelepasan anak.
  • Kesilapan yang timbul daripada salah faham undang-undang. Contohnya: Pada 2021ramai ibu bapa yang membeli komputer/tablet bagi kegunaan anak-anak bagi sesi pengajaran dan pembelajaran di rumah (PDPR). Resit pembelian komputer/tablet tersebut telah diletakkan atas nama anak. Oleh yang demikian, ibu/bapa adalah tidak layak menuntut pelepasan ini kerana resit telah diletakkan atas nama anak. Justeru itu, pastikan sebarang pembelian adalah diletakkan atas nama pembayar cukai bagi tujuan menuntut pelepasan tersebut.
  • Terlebih menuntut pelepasan/derma. Contohnya: Derma yang layak dituntut adalah derma kepada kerajaan/kerajaan negeri.

4)Jumlah pindaan yang boleh dibuat

a. Pembayar cukai yang telah mengemukakan BN dalam tempoh ditetapkan dibenarkan untuk membuat pindaan melalui e-Permohonan Pindaan BE dan melalui BNT dan ianya terhad kepada sekali sahaja.
b. Bagaimanapun, sekiranya masih terdapat pindaan selepas permohonan pindaan pertama dibuat, pembayar cukai perlu mengemukakan surat rayuan beserta dokumen dan resit yang berkaitan ke cawangan yang mengendalikan fail cukai mereka.
c. Pastikan semakan telah dibuat dengan betul supaya tidak perlu lagi membuat pindaan atas pindaan.

5)Pindaan yang dibuat sendiri melalui BNT oleh pembayar cukai boleh mengakibatkan perubahan pada taksiran cukai

• daripada tidak kena cukai kepada kena cukai,
• daripada kena cukai kepada cukai tambahan,
• daripada terima bayaran balik berkemungkinan tiada bayaran balik,malah wujud baki cukai yang kena bayar.

6)Tips bagi mengelakkan kesilapan dalam pelaporan cukai.

Pastikan kiraan manual telah dibuat bagi resit-resit yang ada terlebih dahulu, kumpulkan dalam satu fail, input boleh dikunci masuk pada Borang Nyata manual atau e-Filing. Tidak salah untuk membuat kiraan beberapa kali atau mengemaskini maklumat dalam e-Filing untuk kepastian selagi belum hantar. Buat perbandingan dengan pasangan yang sudah berkahwin dengan cara membuat pengiraan cukai terlebih dahulu. Dari situ kita dapat mengenal pasti siapa yang patut menuntut pelepasan anak dan menikmati penjimatan cukai, Seterusnya jika telah berpuas hati barulah klik butang hantar. Seringkali terjadi kes di mana, suami/isteri menuntut anak yang sama dalam e-BE masing-masing disebabkan tiada perbincangan antara pasangan. Proses audit akan dijalankan atas pelaporan maklumat yang tidak tepat oleh pembayar cukai. Kesimpulannya, masalah tersalah lapor boleh dielakkan jika pembayar cukai menyemak dan meneliti maklumat yang masuk dan resit-resit berkaitan sebelum borang BE dihantar.

Author by : sabpensab

Date : 3/8/2022